BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, Ogos 15, 2010

KASIH SAYANG TERHADAP KANAK-KANAK

Anak adalah harta yang amat bernilai dan tidak dapat digantikan dengan wang ringgit mahupun harta dunia. Dalam hadis Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud ‘seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang mencorakkan sama ada ia menjadi seseorang Yahudi, Nasrani, atau Majusi’.

Ketrampilan memberikan kasih sayang, belaian dan komunikasi yang baik amat dituntut kerana naluri yang subur di kalangan anak-anak memerlukan pengisian untuk terus maju kehadapan. Jadi, ibu bapa perlu memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada mereka, mendidik mereka dari kecil lagi dan jangan sesekali mendera mereka walaupun mereka melakukan kesalahan, hukum dan tegur mereka dengan cara yang baik dan tidak memudaratkan mereka. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mereka masih kecil dan tidak mengenal dunia dengan lebih terang berbanding dengan orang dewasa yang sudah masak dengan selok belok duniawi.

Kasih sayang bermakna ibu bapa perlu melihat anaknya sebagai harta masa depan yang perlu di bentuk secara fitrah. Ibu bapa harus mempunyai kesabaran tinggi kerana kerenah anak-anak memerlukan daya komunikasi yang baik supaya ada hubungan dua hala antara ibu bapa dan anak untuk mewujudkan rasa percaya yang tinggi dan ibu bapa juga harus menunjukkan dan memberikan teladan serta nilai-nilai murni kepada mereka kerana mereka mudah dipengaruhi dan gemar dalam mencuba sesuatu yang baru.

Menurut ahli psikologi,kanak-kanak memerlukan kasih sayang disebabkan kepada tiga faktor utama iaitu pertama, kanak-kanak memerlukan kebahagiaan dan ketenangan dalam hidupnya. Melalui kasih sayang, mereka dapat merasai ketenangan dan kebahagiaan kerana mereka dilahirkan dalam keadaan lemah dan memerlukan pertolongan dan pergantungan kepada orang lain untuk bangun melihat dan hidup di muka bumi ini.

Kedua, pembentukan dari segi pemikiran. Kanak-kanak yang terbentuk dari suasana kasih sayang yang sepenuhnya, maka ia dapat membentuk pemikiran yang kreatif dan bernas. Di samping itu, kanak-kanak tersebut mempunyai daya ingatan yang kuat dan perangai yang baik jika ibu bapa saling berganding membantu mereka membentuk seorang insan yang kreatif dari segi pemikiran akal dan fizikal. Ketiga, pembentukan dari segi masyarakat. Kanak-kanak yang diberikan kasih sayang sejak kecil lagi dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan mempunyai kasih sayang kepada masyarakat sekelilingnya. Mereka juga tidak akan menjadi seorang yang berat tulang dan kera sumbang dikalangan masyarakat sekeliling.

Kesimpulannya, kanak-kanak adalah salah satu nilai yang sangat penting dan berharga menurut Islam serta ia tidak dapat dibayar dan diganti dengan wang ringgit. Kita sebagai orang dewasa dan ibu bapa bertanggungjawab dalam membentuk mereka kearah kebaikan dan menjadi manusia yang berjaya di kemudian hari serta dapat menggantikan tempat kita di kemudian hari dan dapat menjadi pemangkin negara kelak. Untuk itu kita perlu memberikan mereka pendidikan yang sesuai dan segala keperluan jasmani dan rohani mereka mengikut kemampuan masing-masing. Kejayaan anak-anak adalah harapan semua ibu bapa dan mereka yang bertanggungjawab terhadap anak-anak. Kanak-kanak tersenyum gembira, ibu bapa sentiasa bahagia.

SYTIE NUR AIEN BT ROSLI (205232)

KONGSILAH KASIH SAYANG DENGAN ANAK YATIM

Kasih sayang adalah satu perasaan yang halus dan ianya wujud dalam diri setiap manusia sejak azali lagi. Ianya adalah satu fitrah yang melengkapi kejadian manusiawi. Namun kasih sayang ini kadang-kadang sukar untuk dimiliki dan memiliki. Tidak semua insan diberi anugerah yang serupa untuk merasai nikmat kasih sayang itu. Ada insan dilimpahi dengan kasih, ada juga yang menderita kerana merindui untuk dibelai penuh kasih terutamanya antara ibu bapa dan anak-anak.

Ramai yang dilahirkan dan dibesarkan tanpa kasih sayang. Sesetengahnya pula pernah mendapat kasih sayang tetapi untuk waktu yang singkat sahaja. Itulah lumrah kehidupan dan takdir yang telah ditetapkan oleh tuhan untuk setiap insan di dunia ini. Oleh itu, kita perlulah berkongsi kasih sayang yang ada ini dengan insan-insan lain yang memerlukannya terutamanya anak-anak yatim.

Anak-anak yatim ini amat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian kerana mereka telah kehilangan insan-insan yang tersayang dalam hidup meraka. Mereka ini ada kalanya akan berasa terasing kerana kekurangan kasih sayang tersebut. Oleh yang demikian, kita perlulah mendekati mereka dan berikan sebahagian kasih sayang kita kepada mereka.

Kasih sayang ini boleh ditunjukkan dalam pelbagai cara seperti mengambil mereka sebagai keluarga angkat, memberi sumbagan, berkongsi kesedihan dan kegembiraan mereka serta menghiburkan mereka dengan mengadakan lawatan di rumah anak-anak yatim, mengadakan aktiviti-aktiviti bersama mereka, meraikan mereka dalam majlis-majlis tertentu seperti majlis hari raya, majlis berbuka puasa dan sebagainya. Dengan cara sebegitu mereka akan rasa disayangi dan tidak terpinggir. Kasih sayang ini juga mampu membuat mereka menjadi lebih yakin untuk berada dalam kumpulan masyarakat sekeliling.

Hari ini, telah ramai individu-individu dan badan-badan korporat yang tampil memberikan sumbagan kepada golongan yatim ini. Hal ini kerana wujudnya sifat kemanusian dan kasih sayang yang dalam diri sesama manusia. Tanda kasih sayang ini juga, banyak program bersama anak-anak yatim telah diadakan oleh pihak-pihak tertentu termasuk pihak media contohnya program Fitrah Kasih yang diadakan oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM). Program ini bukan sahaja untuk menghiburkan anak-anak yatim tetapi sekurang-kurangnya ia mampu menjentik rasa kemanusian penonton yang menonton supaya turut menghargai dan mewarnai kehidupan manusia lain yang memerlukan.

Sebagai pengakhir kata, marilah sama-sama kita berkongsi kasih sayang yang telah dianugerahkan ini dengan insan-insan memerlukan supaya mereka juga dapat merasai erti kasih sayang. Nilai kasih sayang ini amat besar dan bermakna bagi mereka.

HERZE YANTI ERNY BT AHMAD  (198025)

DERMA DARAH

Terdapat pelbagai cara yang dapat kita gunakan untuk melahirkan rasa kasih sayang antara sesama manusia. Antara salah satu cara yang efektif dalam melahirkan rasa kasih sayang ialah dengan menderma darah. Derma darah merupakan satu aktiviti yang mulia kerana ia memberikan impak positif kepada penderma darah dan juga kepada pesakit-pesakit yang menerima darah tersebut. Allah S.W.T. telah menganugerahkan kita tubuh badan yang sempurna di mana di dalamnya mengalir darah merah yang cukup bagi memastikan kesejahteraan seseorang manusia. Jadi apa salahnya jika kita mendermakan sedikit daripada darah kita kepada insan yang benar-benar memerlukannya?

Ramai yang tidak mengetahui kebaikan yang bakal diperoleh daripada aktiviti menderma darah ini. Antara kebaikan menderma darah kepada diri kita sendiri ialah menderma darah akan mengurangkan paras ‘besi’ di dalam darah. ‘Besi’ adalah oksidan yang akan meningkatkan radikal bebas di dalam tubuh. Jadi apabila anda menderma darah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, anda akan mengalami penurunan tahap ‘besi’ dan hal ini akan turut mengurangkan risiko serangan jantung pada diri kita.

Selain itu, aktiviti derma darah juga mampu memberikan sinar harapan baru dalam kehidupan pesakit-pesakit yang amat memerlukan darah. Tidakkah ada perasaan belas kasihan dalam diri kita terhadap mereka yang tanpa sedar sebenarnya mereka bergantung nyawa terhadap kita? Hal ini kerana dengan setitik darah yang kita dermakan kepada mereka sebenarnya mampu memberikan mereka jangka hayat yang lebih lama berbanding sebelumnya. Tambahan pula, kita sedia maklum bahawa bekalan darah di negara kita kurang dan tidak cukup untuk menampung keperluan permintaan darah oleh pesakit-pesakit. Atas dasar kemanusiaan, seharusnya kita memikirkan bagaimana perasaan kita jikalau kita sendiri yang berada di posisi pesakit-pesakit yang amat memerlukan darah untuk meneruskan hidup mereka tetapi tiada yang menghulurkan bantuan. Pastinya kita akan merasa sangat sedih dan pastinya semangat untuk meneruskan hidup semakin luntur. Jadi marilah kita bersama-sama memulihkan semangat para pesakit yang semakin hilang dengan menderma darah dan sekaligus dapat menyelamatkan nyawa-nyawa yang seharusnya diberi peluang untuk hidup. Hal ini secara tidak langsung dapat menyemai sifat kasih sayang antara sesama manusia.


NOR AIDILA BINTI HALID (206583)

Sabtu, Ogos 14, 2010

PENGORBANAN PEMBANTU RUMAH

Melangkah ke arah zaman globalisasi, masyarakat kita lebih mementingkan kerjaya yang menjamin masa depan tidak terkecuali kaum wanita. Kesibukan kaum wanita dalam kerjaya mereka telah mendorong mereka mendapatkan pembantu rumah bagi membantu mereka dalam menjalankan tanggungjawab di rumah. Pembantu rumah diupah untuk menjaga anak-anak, menyediakan makanan, mengemas rumah dan sebagainya.

Oleh itu, segala keperluan anak-anak telah diserahkan kepada orang gaji untuk diuruskan tanpa disedari kasih sayang orang gaji terhadap anak majikan melebihi kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. Kerjaya wanita telah menghalang mereka untuk menjaga anak-anak akibat kekangan masa dan kesibukan kerja. Justeru, anak-anak akan lebih mesra bersama pembantu rumah dibandingkan ibu bapa mereka sendiri. Hal ini kerana, mereka lebih banyak meluangkan masa dengan pembantu rumah daripada ibu bapa mereka sendiri.

Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan lagi bahawa peranan pembantu rumah amatlah penting dalam memastikan urusan-urusan di rumah berjalan lancar. Menurut akhbar Harian Metro dengan kerjasama Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) keluaran 27 Jun 2010 telah mengeluarkan statistik tentang jumlah pembantu rumah warga asing yang diimport ke Malaysia. Sebanyak 2,000 hingga 3,000 bilangan pembantu rumah warga asing dari pelbagai negara antaranya Indonesia, Vietnam, Kemboja, dan Filipina dibawa masuk bagi memenuhi permintaan majikan di Malaysia setiap bulan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya pembantu rumah dalam memastikan urusan di rumah berjalan lancar. Walaubagaimanpun, masih terdapat segelintir masyarakat menaruh prejudis terhadap mereka ini berikutan kerana terdapat kes jenayah yang melibatkan warga asing tersebar melalui media massa. Misalnya kes dera, kecurian, ragut, dan sebagainya melibatkan warga asing berlaku di negara kita. Bak kata pepatah “kerana nila setitik rosak susu sebelangga”. Namun demikian masyarakat kita pada hari ini hanya memandang di satu sudut yakni pembantu rumah dianggap sebagai seorang yang tidak berperikemanusiaan.

Pernahkan terlintas di fikiran kita bahawa tidak semua keburukan dibawa oleh pembantu rumah kerana majikan juga melakukuan kesilapan yang sama kerana sebagai seorang manusia kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Kerangkusan majikan yang menyalahgunakan tenaga pembantu rumah dengan menganggap mereka seperti hamba berbayar yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, petikan akhbar Berita Harian bertarikh 19 Julai 2010 memaparkan tentang majikan yang mendera amahnya sehingga membawa maut telah dijatuhkan hukuman mati.

Oleh itu, masyarakat sewajarnya sedar bahawa bukan semua amah asing berkelakuan buruk kerana terdapat juga majikan yang bertindak kejam. Justeru, kita sepatutnya memandang mulia terhadap pembantu rumah kerana mereka banyak berkorban dengan meninggalkan keluarga semata-mata ingin mencari sesuap nasi bagi menyara keluarga. Walaupun golongan ini datang bekerja untuk mendapatkan wang, mereka amanah dan bertanggungjawab dengan tugas yang dipikul serta tidak kedekut kasih sayang yang dicurahkan terhadap anak-anak majikan.

ROSFARNI BINTI ABDUL RAHIM (206594)

Jumaat, Ogos 13, 2010

KASIH SAYANG TERHADAP ORANG MISKIN

Kemiskinan biasanya ditakrifkan secara relatif mengikut keadaan masyarakat di sesebuah negara. Dua konsep kemiskinan yang biasa digunakan ialah kemiskinan mutlak yang merupakan konsep dinamik dan kemiskinan relatif yang merupakan ketidaksamaan pendapatan. Pengukuran yang kerap digunakan bagi mengukur kemiskinan mutlak adalah kadar kemiskinan yang merupakan peratus penduduk atau isirumah yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan.

Tanpa kita sedari, terdapat ramai penduduk di Malaysia hidup dalam kemiskinan. Berdasarkan kajian yang dijalankan terdapat ramai golongan miskin tegar di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hal ini amat membimbangkan kerana ia dapat menjejaskan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju pada masa hadapan.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi membantu orang miskin ini antaranya memberi sumbangan berupa wang atau barangan secara peribadi atau berkumpulan. Selain itu, kerajaan boleh memberi mereka bantuan secara bulanan melalui badan – badan kebajikan, zakat atau yayasan – yayasan setiap negeri. Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima.

Syarikat – syarikat swasta juga boleh membantu mereka yang serba kekurangan ini. Antara syarikat swasta yang sentiasa mengambil bahagian ialah Syarikat Faiza Sdn. Bhd. yang bekerjasama dengan TV3 melalui program Bersamamu. Kita patut mencontohi usaha murni yang dilakukan oleh mereka kerana tidak semua rakyat Malaysia bernasib baik seperti kita.

Mereka tidak pernah minta untuk hidup susah dan menderita. Namun, mereka masih gigih berusaha untuk mencari sesuap nasi untuk kehidupan harian mereka. Janganlah kita menghina dan memandang rendah terhadap mereka kerana mereka juga insan biasa sama seperti kita. Oleh itu, marilah kita berganding bahu meringankan tulang untuk membantu insan – insan seperti mereka agar mereka tahu bahawa di dalam dunia ini masih ada orang yang sudi membantu mereka.

FATIN NADZIRAH BINTI ISMAIL (206604)

PENDERMAAN ORGAN ADALAH SATU ANUGERAH KEHIDUPAN

Pendermaan organ bukan isu baru di negara ini kerana sejak 1999, atas dasar keperluan, Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ ditubuhkan. Namum peratusan penderma organ amatlah sedikit dalam kalangan rakyat Malaysia. Mengikut perangkaan terkini Pusat Sumber Transplan Nasional, seramai 14,293 orang telah mendaftar sebagai pengikrar pendermaan organ. Manakala seramai 103,269 orang pula telah mendaftarkan diri untuk mendermakan semua organ dan tisu. Di manakah bakinya orang dewasa daripada 26 juta rakyat Malaysia? Setiap tahun kes kematian disebabkan kemalangan jalan raya antara 6,000 ke 7,000 setahun, jika setiap warga adalah pengikrar, banyak nyawa yang boleh diselamatkan.

Daripada jumlah itu, 58.06% berketurunan Cina, India (23.70%), Melayu (15.48%) dan 2.76% kaum lain. Wanita adalah pengikrar paling tinggi iaitu 54.18% dan lelaki pula 45.21%, manakala selebihnya tidak menyatakan jantina. 81% daripada individu yang berikrar sebagai penderma organ berusia 11 hingga 40 tahun. Mengikut kaji selidik, faktor penyebab kurangnya penderma adalah takut (56.3%) dan bukannya disebabkan oleh halangan agama.

Sebenarnya, ramai di antara kita memandang sepi pendermaan organ kerana tidak mengetahui terperinci mengenainya. Ada yang mengaitkannya dengan faktor halangan budaya, kepercayaan, malah juga agama. Perbezaan agama bukan penghalang kepada umat Islam untuk menderma organ kepada orang bukan Islam kerana tidak timbul pertikaian dari segi hukum mengenai perkara tersebut. Menderma sebahagian anggota badan adalah sama seperti bersedekah dengan harta, harus dikeluarkan kepada orang Muslim dan bukan Muslim.

Dari perspektif Islam, pemindahan organ diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain dan bukan untuk tujuan mendapatkan ganjaran atau populariti. Pendermaan organ juga perlu mendapat izin dan persetujuan penderma serta tidak boleh dilakukan kerana dipaksa.

Kisah Tee Hui Yee, 14 telah mendapatkan jantung baru bagi menggantikan jantung mekanikal yang telah digunakan sejak setahun lalu. Penderma berumur 15 tahun yang maut dalam kemalangan jalan raya bukan sahaja mendermakan jantungnya, tetapi juga menderma paru-paru, hati dan buah pinggang yang dipersetujui oleh anggota keluarga dan warisnya. Kini Hui Yee dapat hidup sebagai remaja normal dan juga boleh kembali ke sekolah.

Keikhlasan hati Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 34 sedekad lalu seharusnya menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia di mana Hafizam menderma sebahagian hatinya kepada seorang kanak-kanak, Mohd. Afiq Ikmal Muhammad Zaini memberi sinar baru kepada keluarga Afiq. Kini dia ditugaskan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk melatih kuda dan menjadi tenaga pengajar kepada sesiapa yang berminat menunggang haiwan.

Tidak salah jika kita berbuat kebaikan kepada mereka yang memerlukan. Kehidupan yang bermakna adalah kehidupan harmoni yang dapat dikongsikan bersama orang lain. Kita mempunyai hak untuk membuat keputusan ke atas badan sendiri. Ramai pesakit di Malaysia masih menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ. Dengan adanya ikrar daripada penderma organ, kita dapat mengubah kehidupan seseorang yang mempunyai kegagalan fungsi organ. Alangkah murninya hati seseorang mengikrarkan diri memberikan semua organ dalamannya, dengan harapan selepas kematiannya, masih dapat membantu orang lain. Marilah kita ikrarkan diri sebagai penderma organ!

Jika berminat boleh membuat pendaftaran disini

CHOO CHOOI LING  (197931)

KASIH SAYANG TERHADAP WANITA

Siapa wanita? Wanita merupakan manusia yang mempunyai perasaan dan emosi yang sangat unik. Wanita dikatakan mempunyai ciri-ciri kecantikan, nilai bersopan santun serta budi bahasa yang tersendiri. Bak kata perpatah lain orang banyaklah ragamnya

Seorang wanita berupaya menjadi ibu kepada seorang anak, isteri kepada seorang suami serta tidak ketinggalan menjadi pemimpin dalam kalangan masyarakat. Namun begitu,wanita merupakan insan yang lemah berbanding kaum lelaki. Disebabkan kekurangan inilah golongan wanita sentiasa dianiayai.

Hal ini jelas bahawa dunia media kini sering melaporkan kes-kes yang berkaitan dengan golongan wanita. Oleh itu, tidak hairanlah sekirannya kes-kes berkaitan wanita menjadi paparan dalam dada-dada akhbar, menjadi berita utama dalam televisyen serta menjadi topik perbualan dalam kalangan masyarakat.

APAKAH PERASAAN ANDA APABILA MEMBACA ARTIKEL INI. ARTIKEL INI BERTARIKH 22/07/2010????????

Namun tidak ketinggalan wanita kini sering menjadi mangsa penderaan samada oleh suami atau oleh keluarga sendiri.

Di samping itu, wanita juga sering digunakan oleh golongan tertentu untuk didagangkan kepada pihak lain. Wanita-wanita yang didagangkan itu dipaksa tanpa kerelaan sendiri untuk dijadikan hamba seks di rumah-rumah pelacuran, rumah-rumah urut, SPA, Disco dan sebagainya.

Selain itu, wanita juga tidak ketinggalan dalam masalah didiskriminasi. Contoh kes pembantu rumah yang tidak diberikan pelindungan dan dianiyai oleh majikan.

Semua pihak harus memainkan peranan antaranya pihak kerajaan telah memperkenalkan Dasar Wanita dan memwujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membela hak-hak wanita. NGO pula seharusnya mewujudkan lebih banyak tempat pelindungan bagi melindungi wanita-wanita yang telah dianiayai. Masyarakat adalah memberi semangat kepada golongan wanita yang telah dianiyai agar mereka dapat meneruskan kehidupan baru. Manakala keluarga terutama suami perlulah menghargai wanita sebagai seorang isteri dan meletakkannya pada taraf yang mulia.

RASHIDAH BINTI CHE WAHID (200072)

Khamis, Ogos 12, 2010

ORANG KURANG UPAYA

Kehilangan upaya atau ketidakupayaan merupakan suatu keadaan yang dianggap mengurangkan fungsi atau keupayaan seseorang jika dibandingkan dengan ukuran biasa masyarakat. Istilah ini biasanya digunakan untuk merujuk kepada fungsi individu seperti kelemahan fizikal, deria, kognitif, intelektual atau kesihatan mental. Penggunaan ini dikaitkan dengan model ketidakupayaan perubatan, dan bukan model ketidakupayaan sosial atau hak asasi manusia. Kehilangan upaya ini boleh terjadi sejak lahir atau kemudiannya. Mereka yang mengalami keadaan ini digelar orang kurang upaya (OKU), atau orang cacat atau terencat. Sesetengah orang pula menggunakan istilah orang istimewa.

Berdasarkan beberapa pemerhatian yang telah dibuat, terdapat pelbagai isu-isu penting yang diabaikan bagi kepentingan OKU. Ianya lebih berfokus kepada isu pendidikan, peluang pekerjaan dan persekitaran yang mesra OKU. Dalam bidang pendidikan OKU, pendidikan inklusif yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia masih kurang dari segi perkhidmatan sokongan seperti kelengkapan atau alat bantuan untuk pelajar kurang upaya, tenaga pelajar yang berkelayakan, ahli terapi pertuturan dan sebagainya. Terdapat kekurangan kemudahan yang mesra OKU seperti tandas dan laluan untuk kerusi roda. Kekurangan kemudahan dan sokongan menghalang akses pelajar kurang upaya untuk mendapat pendidikan. Perkara ini secara tidak lansung menyukarkan pergerakan pelajar kurang upaya.


Bagi menunjukan rasa kasih sayang dan prihatin kepada OKU, beberapa tindakan telah diambil iaitu menyediakan kemudahan yang mesra OKU di sekolah yang menawarkan program pendidikan Khas. Selain itu, dalam aspek kemudahan awam juga dapat dilihat pengabaian terhadap hak OKU. Pengangkutan awam seperti bas, teksi dan komuter masih kurang dari segi kemudahan dan perkhidmatan yang mesra OKU. Kekurangan ini secara tidak langsung menimbulkan masalah kepada golongan kurang upaya yang menggunakan perkhidmatan berkenaan dalam kehidupan seharian mereka. Walaupun Undang-undang telah dipinda yang mewajibkan semua pemilik bangunan awam yang lama dan baru menyediakan kemudahan yang mesra OKU, namun kebanyakan pemilik bangunan awam di negara ini masih tidak mengikut perintah tersebut. Perkara ini telah menyebabkan golongan kurang upaya tidak dapat menikmati kemudahan seperti tandas, lif mesra kurang upaya, lantai khusus untuk orang buta serta tempat letak kereta khas. Demi mengambil berat dan menunujukan kasih sayang kepada OKU, kerajaan telah menyediakan pengangkutan awam dan perkhidmatan yang mesra OKU. Syarikat pengangkutan awam dicadangkan memberi latihan kepada pekerja untuk meningkatkan kesedaran dan keprihatinan mereka terhadap keperluan pelanggan yang kurang upaya.

Sehingga kini OKU merupakan kumpulan yang terpinggir. Ramai daripada mereka tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai kelayakan atau latihan yang membolehkan mereka diambil bekerja. Walaupun mereka mempunyai kemahiran, masyarakat masih tidak memberi peluang pekerjaan kepada mereka. Persekitaran dan bangunan yang tidak mesra OKU juga menyebabkan OKU sukar menjalani aktiviti harian. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah prihatin dan terapkan nilai kasih sayang terhadap OKU. Seharusnya masyarakat haruslah menerima mereka sebagai warganegara yang berkebolehan dan istimewa.

SITI NURFAENIS BT OTHMAN  (200107)

Rabu, Ogos 11, 2010

HARGAI DAN SAYANGILAH ORANG TUA

Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka apabila melalui hari tua kelak. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia. Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Masih ingatkah lagi dengan sebuah iklan Aidilfitri mengenai seorang wanita yang gagal mengembalikan kasih sayang yang diberikan bapanya ketika masa remajanya. Iklan hasil kerja Allahyarham Yasmin Ahmad keluaran Petronas itu bermula dengan wanita tersebut mengambil bapanya yang tua dari hospital untuk pulang ke rumah, dengan suaminya bertanya tidak bolehkah bapanya tinggal di hospital dengan lebih lama. Di rumah wanita itu, bapanya menerima layanan dingin daripada menantu sehinggakan waktu makan pun orang tua itu terpaksa makan berseorangan di tempat lain dan tidak bersama keluarga anaknya. Iklan itu berakhir apabila wanita tersebut sedar dia telah gagal membayar balik segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh bapanya pada satu masa dahulu.

Baru-baru ini media melaporkan mengenai 2 insiden di mana bapa telah “dibuang” oleh anaknya. Dalam kes pertama, seorang pesakit buah pinggang berumur 60 tahun telah ditinggalkan oleh anaknya di pusat hemodialisi di Kangar, Perlis. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kemudian menempatkan lelaki tersebut di sebuah rumah kebajikan, ‘Rumah Sri Kenangan di Jejawi. Dalam kes sebelumnya, seorang bapa berumur 57 tahun telah ditinggalkan ditepi jalan bersama bungkusan pakaianya di Behor dekat Kangar. Beliau yang baru menjalani pembedahan jantung terpaksa berlindung dan tidur di sebuah perhentian bas. Lelaki itu kemudian diberi perlindungan di rumah kebajikan Batu Bertangkup di Chuping.

Pada satu majlis tahun lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata sesiapa yang membuang ibu bapa boleh dianggap melakukan satu perbuatan kejam dan jangan tinggalkan mereka di hospital atau di jalanan serta tinggalkan mereka yang tidak berdaya keseorangan tanpa jagaan di rumah. Beliau tidak mahu melihat satu budaya buang ibu bapa berkembang di negara ini.

Kebaikan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil, anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya. Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup. Hargai dan sayangilah ibu bapa anda.

SITI WAHIDA BINTI ISHAK  (197985)

SAYANGILAH HAIWAN

Haiwan adalah salah satu kehidupan yang hidup di muka bumi ini. Haiwan tergolong kepada dua jenis iaitu haiwan yang jinak dan haiwan yang liar. Haiwan yang jinak selalunya dipelihara oleh manusia seperti kucing, anjing, ikan, burung, ayam dan sebagainya. Haiwan ini dipelihara adalah untuk mengawasi kawasan rumah daripada pencuri, sebagai teman, dan sebagai haiwan peliharaan. Manakala haiwan yang liar tidak dipelihara oleh manusia seperti gajah, harimau, tenggiling, tupai dan lain-lain. Walaupun terdapat dua jenis haiwan iaitu haiwan yang jinak dan liar, manusia sebagai orang yang mempunyai akal fikiran perlulah menyayangi haiwan-haiwan tersebut tidak kira jinak mahupun liar.

Haiwan juga sama seperti manusia tetapi yang membezakan haiwan dan manusia adalah akal fikiran. Haiwan mempunyai perasaan tetapi tidak dapat meluahkan perasaannya. Oleh itu, haiwan ini perlu disayangi bukan dianiayai. Namun begitu, terdapat juga segelintir masyarakat sanggup berlaku kejam terhadap haiwan yang tidak berdosa ini. Contohnya, anjing atau kucing disimbah dengan air panas apabila melalui gerai-gerai makanan semasa anjing atau kucing berkeliaran untuk mencari makanan. Anjing terutama yang liar dan tidak bertuan memang tidak disukai masyarakat malah dianggap selalu membuat kacau ganggu. Mereka sering dikaitkan dengan imej buruk yang ganas dan berbahaya.

Di samping itu, haiwan yang liar juga diburu secara besar-besaran untuk mengaut keuntungan sehingga haiwan tersebut diancam kepupusan. Contohnya, tenggiling. Di pasaran haram, daging tenggiling mencecah RM800 sekilogram. Keadaan ini berlaku akibat daripada permintaan yang tinggi dari restoran di luar negara terutamanya di China. Harga yang tinggi telah mendorong sendiket penyeludupan hidupan liar di Malaysia berusaha labih gigih untuk menangkap haiwan tersebut untuk diseludup ke luar negara terutama negara China. Hal ini menunjukkan betapa kejamnya manusia terhadap haiwan-haiwan ini.

Kesengsaraan yang mereka lalui boleh digambarkan seperti penderitaan bayi yang didera kerana rintihan mereka tiada siapa yang tahu. Sepatutnya, mereka ini harus dilindungi dan disayangi untuk menjamin keberterusan kehidupan haiwan tersebut. Keberterusan kehidupan haiwan ini amatlah penting untuk generasi yang akan datang agar generasi akan datang dapat mengenali haiwan tersebut dengan melihat dengan mata sendiri dan bukannya melalui buku-buku atau di muzium apabila haiwan tersebut telah diawetkan.

Pada zaman globalisasi ini, kasih sayang manusia terhadap haiwan amatlah nipis. Oleh itu, manusia perlu memupuk sikap sayangkan haiwan di peringkat bangku sekolah sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi agar haiwan-haiwan ini terbela.

SITI AMINAH BINTI MD JUSOH  (200116)