Haiwan adalah salah satu kehidupan yang hidup di muka bumi ini. Haiwan tergolong kepada dua jenis iaitu haiwan yang jinak dan haiwan yang liar. Haiwan yang jinak selalunya dipelihara oleh manusia seperti kucing, anjing, ikan, burung, ayam dan sebagainya. Haiwan ini dipelihara adalah untuk mengawasi kawasan rumah daripada pencuri, sebagai teman, dan sebagai haiwan peliharaan. Manakala haiwan yang liar tidak dipelihara oleh manusia seperti gajah, harimau, tenggiling, tupai dan lain-lain. Walaupun terdapat dua jenis haiwan iaitu haiwan yang jinak dan liar, manusia sebagai orang yang mempunyai akal fikiran perlulah menyayangi haiwan-haiwan tersebut tidak kira jinak mahupun liar.
Haiwan juga sama seperti manusia tetapi yang membezakan haiwan dan manusia adalah akal fikiran. Haiwan mempunyai perasaan tetapi tidak dapat meluahkan perasaannya. Oleh itu, haiwan ini perlu disayangi bukan dianiayai. Namun begitu, terdapat juga segelintir masyarakat sanggup berlaku kejam terhadap haiwan yang tidak berdosa ini. Contohnya, anjing atau kucing disimbah dengan air panas apabila melalui gerai-gerai makanan semasa anjing atau kucing berkeliaran untuk mencari makanan. Anjing terutama yang liar dan tidak bertuan memang tidak disukai masyarakat malah dianggap selalu membuat kacau ganggu. Mereka sering dikaitkan dengan imej buruk yang ganas dan berbahaya.
Di samping itu, haiwan yang liar juga diburu secara besar-besaran untuk mengaut keuntungan sehingga haiwan tersebut diancam kepupusan. Contohnya, tenggiling. Di pasaran haram, daging tenggiling mencecah RM800 sekilogram. Keadaan ini berlaku akibat daripada permintaan yang tinggi dari restoran di luar negara terutamanya di China. Harga yang tinggi telah mendorong sendiket penyeludupan hidupan liar di Malaysia berusaha labih gigih untuk menangkap haiwan tersebut untuk diseludup ke luar negara terutama negara China. Hal ini menunjukkan betapa kejamnya manusia terhadap haiwan-haiwan ini.
Kesengsaraan yang mereka lalui boleh digambarkan seperti penderitaan bayi yang didera kerana rintihan mereka tiada siapa yang tahu. Sepatutnya, mereka ini harus dilindungi dan disayangi untuk menjamin keberterusan kehidupan haiwan tersebut. Keberterusan kehidupan haiwan ini amatlah penting untuk generasi yang akan datang agar generasi akan datang dapat mengenali haiwan tersebut dengan melihat dengan mata sendiri dan bukannya melalui buku-buku atau di muzium apabila haiwan tersebut telah diawetkan.
Pada zaman globalisasi ini, kasih sayang manusia terhadap haiwan amatlah nipis. Oleh itu, manusia perlu memupuk sikap sayangkan haiwan di peringkat bangku sekolah sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi agar haiwan-haiwan ini terbela.
SITI AMINAH BINTI MD JUSOH (200116)
0 komen:
Catat Ulasan