Melangkah ke arah zaman globalisasi, masyarakat kita lebih mementingkan kerjaya yang menjamin masa depan tidak terkecuali kaum wanita. Kesibukan kaum wanita dalam kerjaya mereka telah mendorong mereka mendapatkan pembantu rumah bagi membantu mereka dalam menjalankan tanggungjawab di rumah. Pembantu rumah diupah untuk menjaga anak-anak, menyediakan makanan, mengemas rumah dan sebagainya.
Oleh itu, segala keperluan anak-anak telah diserahkan kepada orang gaji untuk diuruskan tanpa disedari kasih sayang orang gaji terhadap anak majikan melebihi kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. Kerjaya wanita telah menghalang mereka untuk menjaga anak-anak akibat kekangan masa dan kesibukan kerja. Justeru, anak-anak akan lebih mesra bersama pembantu rumah dibandingkan ibu bapa mereka sendiri. Hal ini kerana, mereka lebih banyak meluangkan masa dengan pembantu rumah daripada ibu bapa mereka sendiri.
Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan lagi bahawa peranan pembantu rumah amatlah penting dalam memastikan urusan-urusan di rumah berjalan lancar. Menurut akhbar Harian Metro dengan kerjasama Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) keluaran 27 Jun 2010 telah mengeluarkan statistik tentang jumlah pembantu rumah warga asing yang diimport ke Malaysia. Sebanyak 2,000 hingga 3,000 bilangan pembantu rumah warga asing dari pelbagai negara antaranya Indonesia, Vietnam, Kemboja, dan Filipina dibawa masuk bagi memenuhi permintaan majikan di Malaysia setiap bulan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya pembantu rumah dalam memastikan urusan di rumah berjalan lancar. Walaubagaimanpun, masih terdapat segelintir masyarakat menaruh prejudis terhadap mereka ini berikutan kerana terdapat kes jenayah yang melibatkan warga asing tersebar melalui media massa. Misalnya kes dera, kecurian, ragut, dan sebagainya melibatkan warga asing berlaku di negara kita. Bak kata pepatah “kerana nila setitik rosak susu sebelangga”. Namun demikian masyarakat kita pada hari ini hanya memandang di satu sudut yakni pembantu rumah dianggap sebagai seorang yang tidak berperikemanusiaan.
Pernahkan terlintas di fikiran kita bahawa tidak semua keburukan dibawa oleh pembantu rumah kerana majikan juga melakukuan kesilapan yang sama kerana sebagai seorang manusia kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Kerangkusan majikan yang menyalahgunakan tenaga pembantu rumah dengan menganggap mereka seperti hamba berbayar yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, petikan akhbar Berita Harian bertarikh 19 Julai 2010 memaparkan tentang majikan yang mendera amahnya sehingga membawa maut telah dijatuhkan hukuman mati.
Oleh itu, masyarakat sewajarnya sedar bahawa bukan semua amah asing berkelakuan buruk kerana terdapat juga majikan yang bertindak kejam. Justeru, kita sepatutnya memandang mulia terhadap pembantu rumah kerana mereka banyak berkorban dengan meninggalkan keluarga semata-mata ingin mencari sesuap nasi bagi menyara keluarga. Walaupun golongan ini datang bekerja untuk mendapatkan wang, mereka amanah dan bertanggungjawab dengan tugas yang dipikul serta tidak kedekut kasih sayang yang dicurahkan terhadap anak-anak majikan.
ROSFARNI BINTI ABDUL RAHIM (206594)