Terdapat pelbagai cara yang dapat kita gunakan untuk melahirkan rasa kasih sayang antara sesama manusia. Antara salah satu cara yang efektif dalam melahirkan rasa kasih sayang ialah dengan menderma darah. Derma darah merupakan satu aktiviti yang mulia kerana ia memberikan impak positif kepada penderma darah dan juga kepada pesakit-pesakit yang menerima darah tersebut. Allah S.W.T. telah menganugerahkan kita tubuh badan yang sempurna di mana di dalamnya mengalir darah merah yang cukup bagi memastikan kesejahteraan seseorang manusia. Jadi apa salahnya jika kita mendermakan sedikit daripada darah kita kepada insan yang benar-benar memerlukannya?
Ramai yang tidak mengetahui kebaikan yang bakal diperoleh daripada aktiviti menderma darah ini. Antara kebaikan menderma darah kepada diri kita sendiri ialah menderma darah akan mengurangkan paras ‘besi’ di dalam darah. ‘Besi’ adalah oksidan yang akan meningkatkan radikal bebas di dalam tubuh. Jadi apabila anda menderma darah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, anda akan mengalami penurunan tahap ‘besi’ dan hal ini akan turut mengurangkan risiko serangan jantung pada diri kita.
Selain itu, aktiviti derma darah juga mampu memberikan sinar harapan baru dalam kehidupan pesakit-pesakit yang amat memerlukan darah. Tidakkah ada perasaan belas kasihan dalam diri kita terhadap mereka yang tanpa sedar sebenarnya mereka bergantung nyawa terhadap kita? Hal ini kerana dengan setitik darah yang kita dermakan kepada mereka sebenarnya mampu memberikan mereka jangka hayat yang lebih lama berbanding sebelumnya. Tambahan pula, kita sedia maklum bahawa bekalan darah di negara kita kurang dan tidak cukup untuk menampung keperluan permintaan darah oleh pesakit-pesakit. Atas dasar kemanusiaan, seharusnya kita memikirkan bagaimana perasaan kita jikalau kita sendiri yang berada di posisi pesakit-pesakit yang amat memerlukan darah untuk meneruskan hidup mereka tetapi tiada yang menghulurkan bantuan. Pastinya kita akan merasa sangat sedih dan pastinya semangat untuk meneruskan hidup semakin luntur. Jadi marilah kita bersama-sama memulihkan semangat para pesakit yang semakin hilang dengan menderma darah dan sekaligus dapat menyelamatkan nyawa-nyawa yang seharusnya diberi peluang untuk hidup. Hal ini secara tidak langsung dapat menyemai sifat kasih sayang antara sesama manusia.
NOR AIDILA BINTI HALID (206583)
0 komen:
Catat Ulasan