BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, Ogos 15, 2010

KONGSILAH KASIH SAYANG DENGAN ANAK YATIM

Kasih sayang adalah satu perasaan yang halus dan ianya wujud dalam diri setiap manusia sejak azali lagi. Ianya adalah satu fitrah yang melengkapi kejadian manusiawi. Namun kasih sayang ini kadang-kadang sukar untuk dimiliki dan memiliki. Tidak semua insan diberi anugerah yang serupa untuk merasai nikmat kasih sayang itu. Ada insan dilimpahi dengan kasih, ada juga yang menderita kerana merindui untuk dibelai penuh kasih terutamanya antara ibu bapa dan anak-anak.

Ramai yang dilahirkan dan dibesarkan tanpa kasih sayang. Sesetengahnya pula pernah mendapat kasih sayang tetapi untuk waktu yang singkat sahaja. Itulah lumrah kehidupan dan takdir yang telah ditetapkan oleh tuhan untuk setiap insan di dunia ini. Oleh itu, kita perlulah berkongsi kasih sayang yang ada ini dengan insan-insan lain yang memerlukannya terutamanya anak-anak yatim.

Anak-anak yatim ini amat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian kerana mereka telah kehilangan insan-insan yang tersayang dalam hidup meraka. Mereka ini ada kalanya akan berasa terasing kerana kekurangan kasih sayang tersebut. Oleh yang demikian, kita perlulah mendekati mereka dan berikan sebahagian kasih sayang kita kepada mereka.

Kasih sayang ini boleh ditunjukkan dalam pelbagai cara seperti mengambil mereka sebagai keluarga angkat, memberi sumbagan, berkongsi kesedihan dan kegembiraan mereka serta menghiburkan mereka dengan mengadakan lawatan di rumah anak-anak yatim, mengadakan aktiviti-aktiviti bersama mereka, meraikan mereka dalam majlis-majlis tertentu seperti majlis hari raya, majlis berbuka puasa dan sebagainya. Dengan cara sebegitu mereka akan rasa disayangi dan tidak terpinggir. Kasih sayang ini juga mampu membuat mereka menjadi lebih yakin untuk berada dalam kumpulan masyarakat sekeliling.

Hari ini, telah ramai individu-individu dan badan-badan korporat yang tampil memberikan sumbagan kepada golongan yatim ini. Hal ini kerana wujudnya sifat kemanusian dan kasih sayang yang dalam diri sesama manusia. Tanda kasih sayang ini juga, banyak program bersama anak-anak yatim telah diadakan oleh pihak-pihak tertentu termasuk pihak media contohnya program Fitrah Kasih yang diadakan oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM). Program ini bukan sahaja untuk menghiburkan anak-anak yatim tetapi sekurang-kurangnya ia mampu menjentik rasa kemanusian penonton yang menonton supaya turut menghargai dan mewarnai kehidupan manusia lain yang memerlukan.

Sebagai pengakhir kata, marilah sama-sama kita berkongsi kasih sayang yang telah dianugerahkan ini dengan insan-insan memerlukan supaya mereka juga dapat merasai erti kasih sayang. Nilai kasih sayang ini amat besar dan bermakna bagi mereka.

HERZE YANTI ERNY BT AHMAD  (198025)

0 komen: