BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, Ogos 11, 2010

HARGAI DAN SAYANGILAH ORANG TUA

Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka apabila melalui hari tua kelak. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia. Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Masih ingatkah lagi dengan sebuah iklan Aidilfitri mengenai seorang wanita yang gagal mengembalikan kasih sayang yang diberikan bapanya ketika masa remajanya. Iklan hasil kerja Allahyarham Yasmin Ahmad keluaran Petronas itu bermula dengan wanita tersebut mengambil bapanya yang tua dari hospital untuk pulang ke rumah, dengan suaminya bertanya tidak bolehkah bapanya tinggal di hospital dengan lebih lama. Di rumah wanita itu, bapanya menerima layanan dingin daripada menantu sehinggakan waktu makan pun orang tua itu terpaksa makan berseorangan di tempat lain dan tidak bersama keluarga anaknya. Iklan itu berakhir apabila wanita tersebut sedar dia telah gagal membayar balik segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh bapanya pada satu masa dahulu.

Baru-baru ini media melaporkan mengenai 2 insiden di mana bapa telah “dibuang” oleh anaknya. Dalam kes pertama, seorang pesakit buah pinggang berumur 60 tahun telah ditinggalkan oleh anaknya di pusat hemodialisi di Kangar, Perlis. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kemudian menempatkan lelaki tersebut di sebuah rumah kebajikan, ‘Rumah Sri Kenangan di Jejawi. Dalam kes sebelumnya, seorang bapa berumur 57 tahun telah ditinggalkan ditepi jalan bersama bungkusan pakaianya di Behor dekat Kangar. Beliau yang baru menjalani pembedahan jantung terpaksa berlindung dan tidur di sebuah perhentian bas. Lelaki itu kemudian diberi perlindungan di rumah kebajikan Batu Bertangkup di Chuping.

Pada satu majlis tahun lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata sesiapa yang membuang ibu bapa boleh dianggap melakukan satu perbuatan kejam dan jangan tinggalkan mereka di hospital atau di jalanan serta tinggalkan mereka yang tidak berdaya keseorangan tanpa jagaan di rumah. Beliau tidak mahu melihat satu budaya buang ibu bapa berkembang di negara ini.

Kebaikan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil, anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya. Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup. Hargai dan sayangilah ibu bapa anda.

SITI WAHIDA BINTI ISHAK  (197985)

SAYANGILAH HAIWAN

Haiwan adalah salah satu kehidupan yang hidup di muka bumi ini. Haiwan tergolong kepada dua jenis iaitu haiwan yang jinak dan haiwan yang liar. Haiwan yang jinak selalunya dipelihara oleh manusia seperti kucing, anjing, ikan, burung, ayam dan sebagainya. Haiwan ini dipelihara adalah untuk mengawasi kawasan rumah daripada pencuri, sebagai teman, dan sebagai haiwan peliharaan. Manakala haiwan yang liar tidak dipelihara oleh manusia seperti gajah, harimau, tenggiling, tupai dan lain-lain. Walaupun terdapat dua jenis haiwan iaitu haiwan yang jinak dan liar, manusia sebagai orang yang mempunyai akal fikiran perlulah menyayangi haiwan-haiwan tersebut tidak kira jinak mahupun liar.

Haiwan juga sama seperti manusia tetapi yang membezakan haiwan dan manusia adalah akal fikiran. Haiwan mempunyai perasaan tetapi tidak dapat meluahkan perasaannya. Oleh itu, haiwan ini perlu disayangi bukan dianiayai. Namun begitu, terdapat juga segelintir masyarakat sanggup berlaku kejam terhadap haiwan yang tidak berdosa ini. Contohnya, anjing atau kucing disimbah dengan air panas apabila melalui gerai-gerai makanan semasa anjing atau kucing berkeliaran untuk mencari makanan. Anjing terutama yang liar dan tidak bertuan memang tidak disukai masyarakat malah dianggap selalu membuat kacau ganggu. Mereka sering dikaitkan dengan imej buruk yang ganas dan berbahaya.

Di samping itu, haiwan yang liar juga diburu secara besar-besaran untuk mengaut keuntungan sehingga haiwan tersebut diancam kepupusan. Contohnya, tenggiling. Di pasaran haram, daging tenggiling mencecah RM800 sekilogram. Keadaan ini berlaku akibat daripada permintaan yang tinggi dari restoran di luar negara terutamanya di China. Harga yang tinggi telah mendorong sendiket penyeludupan hidupan liar di Malaysia berusaha labih gigih untuk menangkap haiwan tersebut untuk diseludup ke luar negara terutama negara China. Hal ini menunjukkan betapa kejamnya manusia terhadap haiwan-haiwan ini.

Kesengsaraan yang mereka lalui boleh digambarkan seperti penderitaan bayi yang didera kerana rintihan mereka tiada siapa yang tahu. Sepatutnya, mereka ini harus dilindungi dan disayangi untuk menjamin keberterusan kehidupan haiwan tersebut. Keberterusan kehidupan haiwan ini amatlah penting untuk generasi yang akan datang agar generasi akan datang dapat mengenali haiwan tersebut dengan melihat dengan mata sendiri dan bukannya melalui buku-buku atau di muzium apabila haiwan tersebut telah diawetkan.

Pada zaman globalisasi ini, kasih sayang manusia terhadap haiwan amatlah nipis. Oleh itu, manusia perlu memupuk sikap sayangkan haiwan di peringkat bangku sekolah sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi agar haiwan-haiwan ini terbela.

SITI AMINAH BINTI MD JUSOH  (200116)