Anak adalah harta yang amat bernilai dan tidak dapat digantikan dengan wang ringgit mahupun harta dunia. Dalam hadis Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud ‘seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang mencorakkan sama ada ia menjadi seseorang Yahudi, Nasrani, atau Majusi’.
Ketrampilan memberikan kasih sayang, belaian dan komunikasi yang baik amat dituntut kerana naluri yang subur di kalangan anak-anak memerlukan pengisian untuk terus maju kehadapan. Jadi, ibu bapa perlu memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada mereka, mendidik mereka dari kecil lagi dan jangan sesekali mendera mereka walaupun mereka melakukan kesalahan, hukum dan tegur mereka dengan cara yang baik dan tidak memudaratkan mereka. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mereka masih kecil dan tidak mengenal dunia dengan lebih terang berbanding dengan orang dewasa yang sudah masak dengan selok belok duniawi.
Kasih sayang bermakna ibu bapa perlu melihat anaknya sebagai harta masa depan yang perlu di bentuk secara fitrah. Ibu bapa harus mempunyai kesabaran tinggi kerana kerenah anak-anak memerlukan daya komunikasi yang baik supaya ada hubungan dua hala antara ibu bapa dan anak untuk mewujudkan rasa percaya yang tinggi dan ibu bapa juga harus menunjukkan dan memberikan teladan serta nilai-nilai murni kepada mereka kerana mereka mudah dipengaruhi dan gemar dalam mencuba sesuatu yang baru.
Menurut ahli psikologi,kanak-kanak memerlukan kasih sayang disebabkan kepada tiga faktor utama iaitu pertama, kanak-kanak memerlukan kebahagiaan dan ketenangan dalam hidupnya. Melalui kasih sayang, mereka dapat merasai ketenangan dan kebahagiaan kerana mereka dilahirkan dalam keadaan lemah dan memerlukan pertolongan dan pergantungan kepada orang lain untuk bangun melihat dan hidup di muka bumi ini.
Kedua, pembentukan dari segi pemikiran. Kanak-kanak yang terbentuk dari suasana kasih sayang yang sepenuhnya, maka ia dapat membentuk pemikiran yang kreatif dan bernas. Di samping itu, kanak-kanak tersebut mempunyai daya ingatan yang kuat dan perangai yang baik jika ibu bapa saling berganding membantu mereka membentuk seorang insan yang kreatif dari segi pemikiran akal dan fizikal. Ketiga, pembentukan dari segi masyarakat. Kanak-kanak yang diberikan kasih sayang sejak kecil lagi dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan mempunyai kasih sayang kepada masyarakat sekelilingnya. Mereka juga tidak akan menjadi seorang yang berat tulang dan kera sumbang dikalangan masyarakat sekeliling.
Kesimpulannya, kanak-kanak adalah salah satu nilai yang sangat penting dan berharga menurut Islam serta ia tidak dapat dibayar dan diganti dengan wang ringgit. Kita sebagai orang dewasa dan ibu bapa bertanggungjawab dalam membentuk mereka kearah kebaikan dan menjadi manusia yang berjaya di kemudian hari serta dapat menggantikan tempat kita di kemudian hari dan dapat menjadi pemangkin negara kelak. Untuk itu kita perlu memberikan mereka pendidikan yang sesuai dan segala keperluan jasmani dan rohani mereka mengikut kemampuan masing-masing. Kejayaan anak-anak adalah harapan semua ibu bapa dan mereka yang bertanggungjawab terhadap anak-anak. Kanak-kanak tersenyum gembira, ibu bapa sentiasa bahagia.
SYTIE NUR AIEN BT ROSLI (205232)