BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, Ogos 13, 2010

KASIH SAYANG TERHADAP ORANG MISKIN

Kemiskinan biasanya ditakrifkan secara relatif mengikut keadaan masyarakat di sesebuah negara. Dua konsep kemiskinan yang biasa digunakan ialah kemiskinan mutlak yang merupakan konsep dinamik dan kemiskinan relatif yang merupakan ketidaksamaan pendapatan. Pengukuran yang kerap digunakan bagi mengukur kemiskinan mutlak adalah kadar kemiskinan yang merupakan peratus penduduk atau isirumah yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan.

Tanpa kita sedari, terdapat ramai penduduk di Malaysia hidup dalam kemiskinan. Berdasarkan kajian yang dijalankan terdapat ramai golongan miskin tegar di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hal ini amat membimbangkan kerana ia dapat menjejaskan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju pada masa hadapan.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi membantu orang miskin ini antaranya memberi sumbangan berupa wang atau barangan secara peribadi atau berkumpulan. Selain itu, kerajaan boleh memberi mereka bantuan secara bulanan melalui badan – badan kebajikan, zakat atau yayasan – yayasan setiap negeri. Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima.

Syarikat – syarikat swasta juga boleh membantu mereka yang serba kekurangan ini. Antara syarikat swasta yang sentiasa mengambil bahagian ialah Syarikat Faiza Sdn. Bhd. yang bekerjasama dengan TV3 melalui program Bersamamu. Kita patut mencontohi usaha murni yang dilakukan oleh mereka kerana tidak semua rakyat Malaysia bernasib baik seperti kita.

Mereka tidak pernah minta untuk hidup susah dan menderita. Namun, mereka masih gigih berusaha untuk mencari sesuap nasi untuk kehidupan harian mereka. Janganlah kita menghina dan memandang rendah terhadap mereka kerana mereka juga insan biasa sama seperti kita. Oleh itu, marilah kita berganding bahu meringankan tulang untuk membantu insan – insan seperti mereka agar mereka tahu bahawa di dalam dunia ini masih ada orang yang sudi membantu mereka.

FATIN NADZIRAH BINTI ISMAIL (206604)

PENDERMAAN ORGAN ADALAH SATU ANUGERAH KEHIDUPAN

Pendermaan organ bukan isu baru di negara ini kerana sejak 1999, atas dasar keperluan, Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ ditubuhkan. Namum peratusan penderma organ amatlah sedikit dalam kalangan rakyat Malaysia. Mengikut perangkaan terkini Pusat Sumber Transplan Nasional, seramai 14,293 orang telah mendaftar sebagai pengikrar pendermaan organ. Manakala seramai 103,269 orang pula telah mendaftarkan diri untuk mendermakan semua organ dan tisu. Di manakah bakinya orang dewasa daripada 26 juta rakyat Malaysia? Setiap tahun kes kematian disebabkan kemalangan jalan raya antara 6,000 ke 7,000 setahun, jika setiap warga adalah pengikrar, banyak nyawa yang boleh diselamatkan.

Daripada jumlah itu, 58.06% berketurunan Cina, India (23.70%), Melayu (15.48%) dan 2.76% kaum lain. Wanita adalah pengikrar paling tinggi iaitu 54.18% dan lelaki pula 45.21%, manakala selebihnya tidak menyatakan jantina. 81% daripada individu yang berikrar sebagai penderma organ berusia 11 hingga 40 tahun. Mengikut kaji selidik, faktor penyebab kurangnya penderma adalah takut (56.3%) dan bukannya disebabkan oleh halangan agama.

Sebenarnya, ramai di antara kita memandang sepi pendermaan organ kerana tidak mengetahui terperinci mengenainya. Ada yang mengaitkannya dengan faktor halangan budaya, kepercayaan, malah juga agama. Perbezaan agama bukan penghalang kepada umat Islam untuk menderma organ kepada orang bukan Islam kerana tidak timbul pertikaian dari segi hukum mengenai perkara tersebut. Menderma sebahagian anggota badan adalah sama seperti bersedekah dengan harta, harus dikeluarkan kepada orang Muslim dan bukan Muslim.

Dari perspektif Islam, pemindahan organ diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain dan bukan untuk tujuan mendapatkan ganjaran atau populariti. Pendermaan organ juga perlu mendapat izin dan persetujuan penderma serta tidak boleh dilakukan kerana dipaksa.

Kisah Tee Hui Yee, 14 telah mendapatkan jantung baru bagi menggantikan jantung mekanikal yang telah digunakan sejak setahun lalu. Penderma berumur 15 tahun yang maut dalam kemalangan jalan raya bukan sahaja mendermakan jantungnya, tetapi juga menderma paru-paru, hati dan buah pinggang yang dipersetujui oleh anggota keluarga dan warisnya. Kini Hui Yee dapat hidup sebagai remaja normal dan juga boleh kembali ke sekolah.

Keikhlasan hati Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 34 sedekad lalu seharusnya menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia di mana Hafizam menderma sebahagian hatinya kepada seorang kanak-kanak, Mohd. Afiq Ikmal Muhammad Zaini memberi sinar baru kepada keluarga Afiq. Kini dia ditugaskan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk melatih kuda dan menjadi tenaga pengajar kepada sesiapa yang berminat menunggang haiwan.

Tidak salah jika kita berbuat kebaikan kepada mereka yang memerlukan. Kehidupan yang bermakna adalah kehidupan harmoni yang dapat dikongsikan bersama orang lain. Kita mempunyai hak untuk membuat keputusan ke atas badan sendiri. Ramai pesakit di Malaysia masih menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ. Dengan adanya ikrar daripada penderma organ, kita dapat mengubah kehidupan seseorang yang mempunyai kegagalan fungsi organ. Alangkah murninya hati seseorang mengikrarkan diri memberikan semua organ dalamannya, dengan harapan selepas kematiannya, masih dapat membantu orang lain. Marilah kita ikrarkan diri sebagai penderma organ!

Jika berminat boleh membuat pendaftaran disini

CHOO CHOOI LING  (197931)

KASIH SAYANG TERHADAP WANITA

Siapa wanita? Wanita merupakan manusia yang mempunyai perasaan dan emosi yang sangat unik. Wanita dikatakan mempunyai ciri-ciri kecantikan, nilai bersopan santun serta budi bahasa yang tersendiri. Bak kata perpatah lain orang banyaklah ragamnya

Seorang wanita berupaya menjadi ibu kepada seorang anak, isteri kepada seorang suami serta tidak ketinggalan menjadi pemimpin dalam kalangan masyarakat. Namun begitu,wanita merupakan insan yang lemah berbanding kaum lelaki. Disebabkan kekurangan inilah golongan wanita sentiasa dianiayai.

Hal ini jelas bahawa dunia media kini sering melaporkan kes-kes yang berkaitan dengan golongan wanita. Oleh itu, tidak hairanlah sekirannya kes-kes berkaitan wanita menjadi paparan dalam dada-dada akhbar, menjadi berita utama dalam televisyen serta menjadi topik perbualan dalam kalangan masyarakat.

APAKAH PERASAAN ANDA APABILA MEMBACA ARTIKEL INI. ARTIKEL INI BERTARIKH 22/07/2010????????

Namun tidak ketinggalan wanita kini sering menjadi mangsa penderaan samada oleh suami atau oleh keluarga sendiri.

Di samping itu, wanita juga sering digunakan oleh golongan tertentu untuk didagangkan kepada pihak lain. Wanita-wanita yang didagangkan itu dipaksa tanpa kerelaan sendiri untuk dijadikan hamba seks di rumah-rumah pelacuran, rumah-rumah urut, SPA, Disco dan sebagainya.

Selain itu, wanita juga tidak ketinggalan dalam masalah didiskriminasi. Contoh kes pembantu rumah yang tidak diberikan pelindungan dan dianiyai oleh majikan.

Semua pihak harus memainkan peranan antaranya pihak kerajaan telah memperkenalkan Dasar Wanita dan memwujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membela hak-hak wanita. NGO pula seharusnya mewujudkan lebih banyak tempat pelindungan bagi melindungi wanita-wanita yang telah dianiayai. Masyarakat adalah memberi semangat kepada golongan wanita yang telah dianiyai agar mereka dapat meneruskan kehidupan baru. Manakala keluarga terutama suami perlulah menghargai wanita sebagai seorang isteri dan meletakkannya pada taraf yang mulia.

RASHIDAH BINTI CHE WAHID (200072)