BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, Ogos 13, 2010

PENDERMAAN ORGAN ADALAH SATU ANUGERAH KEHIDUPAN

Pendermaan organ bukan isu baru di negara ini kerana sejak 1999, atas dasar keperluan, Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ ditubuhkan. Namum peratusan penderma organ amatlah sedikit dalam kalangan rakyat Malaysia. Mengikut perangkaan terkini Pusat Sumber Transplan Nasional, seramai 14,293 orang telah mendaftar sebagai pengikrar pendermaan organ. Manakala seramai 103,269 orang pula telah mendaftarkan diri untuk mendermakan semua organ dan tisu. Di manakah bakinya orang dewasa daripada 26 juta rakyat Malaysia? Setiap tahun kes kematian disebabkan kemalangan jalan raya antara 6,000 ke 7,000 setahun, jika setiap warga adalah pengikrar, banyak nyawa yang boleh diselamatkan.

Daripada jumlah itu, 58.06% berketurunan Cina, India (23.70%), Melayu (15.48%) dan 2.76% kaum lain. Wanita adalah pengikrar paling tinggi iaitu 54.18% dan lelaki pula 45.21%, manakala selebihnya tidak menyatakan jantina. 81% daripada individu yang berikrar sebagai penderma organ berusia 11 hingga 40 tahun. Mengikut kaji selidik, faktor penyebab kurangnya penderma adalah takut (56.3%) dan bukannya disebabkan oleh halangan agama.

Sebenarnya, ramai di antara kita memandang sepi pendermaan organ kerana tidak mengetahui terperinci mengenainya. Ada yang mengaitkannya dengan faktor halangan budaya, kepercayaan, malah juga agama. Perbezaan agama bukan penghalang kepada umat Islam untuk menderma organ kepada orang bukan Islam kerana tidak timbul pertikaian dari segi hukum mengenai perkara tersebut. Menderma sebahagian anggota badan adalah sama seperti bersedekah dengan harta, harus dikeluarkan kepada orang Muslim dan bukan Muslim.

Dari perspektif Islam, pemindahan organ diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain dan bukan untuk tujuan mendapatkan ganjaran atau populariti. Pendermaan organ juga perlu mendapat izin dan persetujuan penderma serta tidak boleh dilakukan kerana dipaksa.

Kisah Tee Hui Yee, 14 telah mendapatkan jantung baru bagi menggantikan jantung mekanikal yang telah digunakan sejak setahun lalu. Penderma berumur 15 tahun yang maut dalam kemalangan jalan raya bukan sahaja mendermakan jantungnya, tetapi juga menderma paru-paru, hati dan buah pinggang yang dipersetujui oleh anggota keluarga dan warisnya. Kini Hui Yee dapat hidup sebagai remaja normal dan juga boleh kembali ke sekolah.

Keikhlasan hati Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 34 sedekad lalu seharusnya menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia di mana Hafizam menderma sebahagian hatinya kepada seorang kanak-kanak, Mohd. Afiq Ikmal Muhammad Zaini memberi sinar baru kepada keluarga Afiq. Kini dia ditugaskan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk melatih kuda dan menjadi tenaga pengajar kepada sesiapa yang berminat menunggang haiwan.

Tidak salah jika kita berbuat kebaikan kepada mereka yang memerlukan. Kehidupan yang bermakna adalah kehidupan harmoni yang dapat dikongsikan bersama orang lain. Kita mempunyai hak untuk membuat keputusan ke atas badan sendiri. Ramai pesakit di Malaysia masih menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ. Dengan adanya ikrar daripada penderma organ, kita dapat mengubah kehidupan seseorang yang mempunyai kegagalan fungsi organ. Alangkah murninya hati seseorang mengikrarkan diri memberikan semua organ dalamannya, dengan harapan selepas kematiannya, masih dapat membantu orang lain. Marilah kita ikrarkan diri sebagai penderma organ!

Jika berminat boleh membuat pendaftaran disini

CHOO CHOOI LING  (197931)

0 komen: